PENCARIAN

Paling aku tidak mengerti bagaimana mahu menyeru-Mu
jika nama juga hijab
antara Engkau dengan aku.
Engkau esa
tiada hijab menemani Mu
mana mungkin Engkau terhijab. Berapa banyak hati sudah hancur luluh dalam merindui Mu
berapa banyak fikiran telah berkecai dalam mencariMu. Engkau dekat tetapi bila didekati Engkau menjauh bila berhenti Engkau melambai bila dikejar Engkau menjauh kembali.
Bila aku di tangga rumah Mu Engkau menutup pintu
bila aku undur
Engkau membuka jendela
bila aku mengintai
Engkau melabuhkan langsir.
Dalam kepayahan ini daku perlukan penawar
penawar itu ada pada tangan Mu namun aku malu menghulurkan tanganku yang cemar
untuk disambut oleh tangan Mu yang suci.
Aku tidak tergamak meminta Engkau menjadi teman kerana aku tidak pernah membuktikan kesetiaan sebagai sahabat namun hatiku gila kepada Mu tetapi aku malu memanggil
Engkau kekasih
kerana aku tersangat hodoh dan hina.
Janganlah Engkau murka
lantaran si hodoh dan hina ini mengasihi Mu.
Wajahku yang hodoh dan hina
tidak layak Engkau tatapi
Wajah Mu yang cantik berseri
tidak layak aku tatapi di atas tangga rumah Mu aku terlena dengan harapan mataku tidak terbuka lagi
kerana aku tidak tahan merindui Mu.
Izinkan daku bermalam di tangga rumah Mu dan memejam mataku di situ agar apabila
Engkau membuka pintu
Engkau memandang kepada ku walaupun daku tidak memandang kepada Mu.

Tinggalkan komentar